Seabad Seorang Che Det: Siapa Dia Pada Aku?


Kredit gambar: SOSCILI

Entri ini ditulis dengan nama 'Che Det', kerana aku mahu bercerita soal pengalaman personal terhadap sosoknya. 'Mahathir Mohamad' terlalu dikenal sebagai seorang perdana menteri, politikus dan tokoh dunia. Biarlah 'Che Det' menurunkan sedikit maqamnya, hanya sebagai seorang anak Melayu Kedah yang berjaya menjadi seorang doktor perubatan. 

10 Julai lalu, Che Det atau Mahathir Mohamad menyambut ulang tahun seabadnya. Semua orang meraikan dengan ucap tahniah dan mendoakan agar umurnya lebih panjang lagi. Ada juga yang mula membandingkan umurnya dengan beberapa peristiwa penting dalam peradaban manusia: Perang Dunia Pertama dan Kedua, penubuhan NASA bahkan restoran pertama KFC. Ini semua untuk menunjukkan betapa lamanya riwayat hidup seorang Che Det.

Sepanjang ingatan, aku mengenali Mahathir Mohamad ketika di bangku sekolah rendah. Dengan belajar subjek Sejarah, memperkenalkan Mahathir sebagai Perdana Menteri Keempat (dan nanti 2018 menjadi Perdana Menteri Ketujuh). Namun aku mula menemui Che Det ketika tahun 2018. 

Ketika itu, politik Malaysia panas dengan persengkongkolan semula Mahathir dan Anwar Ibrahim dalam Pilihanraya Umum 2018. Dengan angin politik yang kencang sekali waktu itu, akibat benci dan pendedahan skandal-skandal Najib Razak, ramai orang mula menyokong pakatan ini: Pakatan Harapan. Dengan gelombang Parti Warisan Sabah dan Shafie Apdal di Sabah, menguatkan lagi deru angin itu. Ketika itulah, seingat aku, aku mula membaca satu buku komik bahasa Inggeris, tajuknya Mahathir Mohamad, karya E.Yu terbitan MPH Publishing. Bukunya sangat bagus. Bacaan santai, dibantu dengan lukisan karikatur, menambah imaginasi terhadap kehidupan seorang Che Det sebelum menjadi Perdana Menteri. 

Pendekkan cerita, Pakatan Harapan pun menang PRU 2018, dan naiklah Mahathir Mohamad menjadi  Perdana Menteri, lagi. Ketika itu, ingat lagi reaksi rakyat Malaysia yang meraikan kemenangan itu dengan gembira sekali. Mungkin rasanya sama seperti rakyat Syria yang sudah bebas daripada rejim kejam Bashar Al-Assad, atau anak-anak muda yang meraikan kejatuhan Uthamniyyah dan naiknya Kemal Ataturk. Tapi, kami yang masih belajar di sekolah menengah meraikan itu dengan gembira kerana Mahathir Mohamad mengumumkan cuti umum pada hari selepas kemenangan itu. Cuti! 

Che Det lahir dalam keluarga pendidik. Ayahnya guru besar sekolah Melayu. Dia dibesarkan dengan penuh tegas. Che Det mulai menanam persoalan ketika dia melihat mengapa orang-orang Melayu di Kedah ketika itu miskin, papa dan tidak sekaya orang-orang Cina dan India yang banyak berniaga. Che Det adalah seorang yang kuat membaca- bukan sahaja buku, tetapi persoalan masyarakatnya. Hal ini yang kurang ramai daripada kita- membaca persoalan dan pergelutan masyarakat.

Aku masih ingat bila ada cikgu-cikgu yang berpesan kepada kami anak-anak muridnya untuk rajin baca buku, Che Det selalu menjadi contoh. "Baca buku, jadi macam Mahathir." Kita mungkin boleh berbeza dari sudut paham politik, kediktatorannya dan sebagainya, tapi susah untuk ditolak bahawa Che Det adalah tokoh membaca, bukan kebangsaan, tapi berzaman. Dari sekolah rendah sampai sekolah menengah, Che Det selalu dijadikan timbal untuk anak-anak rajin membaca. Namun semakin mekar usia, semakin faham bahawa membaca bukan sahaja pada buku, tetapi pada segala-galanya. Memanfaatkan semua deria, mencipta persoalan, membuat kita berfikir dan pandai menimbang-tara, itulah membaca yang sebenar. Buku cumalah latihan dasar.

Ada satu filem yang aku sendiri pernah tonton, tajuknya Tanda Putera. Filem itu mengisahkan tentang situasi Malaysia ketika era Tunku Abdul Rahman dan Tun Razak, tetapi ada selit watak Che Det. Aku agak kaget ketika baru tahu bahawa Che Det pernah menuliskan surat kritikan terhadap Tunku ketika UMNO ketika itu kehilangan beberapa kawasan dalam pilihanraya. Sedari itu, aku baru tahu bahawa Che Det adalah orang yang sangat tajam dalam mengkritik Tunku ketika era pemerintahannya. Che Det sebagai seorang anak muda, sangat berani dalam menyatakan pendirian dan mengkritik seorang kepala negara. Sampaikan, aku pernah baca Che Det adalah antara orang yang menekan terus dan terus sehingga Tunku menyerahkan 'takhta' kepada Abdul Razak. Ini juga yang kurang dalam diri ramai daripada kita- mengkritisi dan berani. 

Jadi, siapa Che Det pada aku? Bagi aku, dia lebih sesuai jadi Che Det berbanding Mahathir Mohamad. Dia akan jauh lebih menginspirasikan orang ramai sebagai Che Det- keberanian dan kekritisannya.

Banyak lagi sebenarnya, tapi aku rasa entri ini terlalu panjang. Aku takut ia jadi berjela. Itulah kelemahanku sekarang- masih tidak mahir memotong idea dalam penulisan, make it simple and sharp. 

Jadi kalau ada yang kritik tulisan ini berjela dan seperti membebel, aku boleh jawab,

"Aku masih belajar."



Comments

  1. Terbaik, saudara naiem , MAJU

    ReplyDelete
    Replies
    1. Yang penting bukan Sabah Maju Jaya!

      Delete
  2. Terbaik naiem, tulis tulisanmu selalu memberi inspirasi bukan aspirasi ya.

    jika tidak keberatan, buat penulisan begini tentang tokoh-tokoh di Sabah

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hahaha yang penting bukan Aspirasi! Terima kasih atas cadangannya!

      Delete
  3. Mantapnya, lepasni boleh suda aku buat penulisan siapa naiem zikri atau lebih mesra ketika itu sebagai nazi.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Surat Cinta Buat Intelektual Sabah Yang Digaji Rakyat