Surat Cinta Buat Intelektual Sabah Yang Digaji Rakyat




Saya melihat Dr. Ramzah Dambul sebagai seorang intelektual Sabahan yang sangat faham dinamika dan isu-isu lokal di Sabah. Secara personal, saya menganggap Dr. Rem sebagai guru saya, walaupun tidak pernah berdepan dan berdiskusi sama. Saya mengenali Dr. Rem awal melalui guru-guru saya yang lain, yang dulunya mereka berada dalam kelompok Suara Mahasiswa, sewaktu masih menjadi pelajar universiti.

Baru-baru ini Dr. Rem mengeluarkan tulisan di Facebook berkenaan isu air di Universiti Malaysia Sabah dan peranan mahasiswanya. Lenggok dan nada bahasanya sangat mengganggu, apabila Dr. Rem menulis nota terbuka itu seakan-akan menyebelahi satu pihak.

 

Nota terbuka ini dibalas oleh kawan saya, yang juga Koordinator Gempur Rasuah Sabah 2.0, Sdr. Fadhil Kassim. Fadhil menulis bahawa saluran diplomasi dan perbincangan adalah ‘saluran najis’ kerana hanya memenuhi formaliti tetapi aksi dan kesan yang menghampakan. 


Hari ini, Dr. Rem menulis lagi sebagai susulan kepada entrinya sebelum ini. Dr. Rem menyelar pembaca hanya “membaca bahasa tapi kurang menyelami makna… Inilah buta huruf yang baru.” Dr. Rem berbunyi agak ‘berang’ apabila mahasiswa mengkritik nota terbukanya.


Dr. Rem harus meraikan ruang wacana ini. Mahasiswa menyambut nota terbukanya dengan satu tulisan yang bagi saya sangat baik dan tajam. Ini meluaskan lagi ruang awam untuk berdiskusi, bertukar pandangan. Ini tidak, Dr. Rem sendiri menggigit cili, sendiri juga mengamuk sebab kepedasan. 


Ada hal yang saya bersetuju dengan entri awal Dr. Rem; semua aksi sama ada demonstrasi atau diplomasi, harus diraikan. Semua orang ada peranannya. Namun entri itu, jika dibaca, seperti ditulis untuk memujuk kaum diplomasi yang merajuk, kerana tidak diangkat dan mendapat sanjungan. Seperti ayah yang pergi belikan anaknya mainan, sebab tidak popular di sekolah dan tidak mendapat pujian kawan-kawan. Tulisan itu sangat bias. 


Dr. Rem menulis dalam entri awalnya “mohon segera kembali kepada fitrah asasi seorang pelajar?” Apa fitrah asasi seorang pelajar? Belajar dalam bilik kuliah, dapat 4.0 dan bekerja, bayar PTPTN?

 

Dr, universiti bukan kilang. Universiti harus kembali kepada fungsinya, untuk memandaikan, menyelesaikan persoalan-persoalan masyarakat dan manusia. Persoalan itu tidak hanya dapat diselesaikan apabila hanya dapat menjadi seorang YB, ketua cawangan, orang begaji besar, atau seorang CEO kumpulan pemikir negeri. Persoalan ini hanya dapat diselesaikan apabila orang-orang yang sepatutnya, menjalankan fungsinya dengan terbaik, termasuklah intelektual. Intelektual harus berfungsi, seperti dipesan oleh Hussein Al-Attas. 


Dan mahasiswa sedang menjalankan fungsinya, untuk meneriakkan ketidakpuasan hati rakyat. Dengan cara apa lagi yang kita ada untuk menekan, selain turun ke jalan raya? Lihat saja selepas demonstrasi, berbondong-bondong menteri, timbalan menteri dan hamba-hambanya mahu berjumpa mahasiswa. Entah disuruh atau tidak, tuannya saja yang tidak hendak datang.


Mahasiswa yang keluar turun ke jalan raya adalah mahasiswa yang sudah tepu. Bilik kuliah itu terlalu sempit untuk mimpi-mimpi mereka yang besar, untuk bangsa dan negeri ini. Mahasiswa masih sedang belajar, bereksperimen dengan apa cara sekalipun, untuk terus berbakti kepada hak dan kemanusiaan. Kalaulah pendidikan dan pembelajaran itu hanya dinisbatkan kepada kuliah dan peperiksaan, nescaya terkuburlah mimpi-mimpi besar mahasiswa. Dr. Rem seharusnya lebih faham kerana sudah berpuluh tahun hidup dan makan dari lingkungan kampus. 


Entri terbaru Dr. Rem ditutup dengan angkuh sekali, “biarpun pada waktu itu, mungkin segalanya sudah terlambat untuk berbalik ke pangkal.“ Inilah masalah orang-orang bijak, tetapi tua. Kami faham umur kalian sudah panjang. Tetapi, janganlah sampai terpaling sok faham situasi, terpaling tahu solusi hanya kerana sudah lama hidup. Kita semua adalah anak-anak zaman, kita semua saling hidup dan belajar di zaman yang sekarang ini. Setiap hari adalah perkembangan zaman, dan setiap hari juga kita bersama belajar. Kalian ada pengalaman lampau, tidak semestinya terpakai untuk hari ini, esok dan dua tahun akan datang lagi. 


Dr. Rem sebagai intelektual rakyat yang jauhari harus bergembira apabila entrinya disambut baik, bukannya melenting. Ini kan membuka ruang wacana yang luas, meraikan semua pandangan. Dr. Rem sendiri kata, “orang yang paling tekun mendendang kebebasan bersuara, orang yang sama juga paling susah meraikan perbezaan.” 


Meraikan perbezaan seringkali ditunggang atas alasan ketenteraman dan menjaga hati perasaan. Pemikiran yang diaman-tenteramkan adalah suatu penghinaan dan kebaculan terhadap kaum intelektual dan bangsa manusia. Perbezaan, apalagi pandangan wajib terus dan terus dikritik dan dikritisi, seperti dakwah Hegel dalam dialektika. 


"Pemikiran yang tidak diganggu, itu bukan pemikiran. Itu doa," kata Rocky Gerung.


Bila sudah dikritisi terlalu lama dan tidak mencapai apa-apa disitu baru kita bernafsi-nafsi. Lakum dinukum waliyadin wujud untuk menutup surah, bukannya membuka surah. 


Dr. Rem sebagai ketua pasukan pemikir negeri ini harus lebih adil, dan lebih cergas dan tegas mengkritisi kebijakan pemerintah dalam menguruskan negeri. Isu rasuah, jalan raya, elektrik dan air, perpaduan, seni dan budaya. Ini semua sangat miskin bagi sebuah negara yang seharusnya kaya.


Hidup mahasiswa! Hidup intelektual akal sihat! Hidup rakyat!


Entri pertama Dr. Rem: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid02YSCaWoK69GPiqFHTRqPDtd99kcWnNKraSxMF2aWhityCHqBJrSorGqf3UfX3KrkQl&id=1271220569


Entri kedua Dr. Rem: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid0UW4XJea4D8kb5pnq9LBxRiGdz7NMVyiGLW9VrRkytg6zanP2AQ6CMKzaRAQ8RYmrl&id=1271220569


Tulisan Sdr. Fadhil: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid0258KrGGkaAG3smFG4tTjreuLMtwqVBrNiyajMmkpDgFgnGuG5oD3H2G7MFoFwp8sZl&id=100002089714821

Comments

  1. Wainah pedas!

    ReplyDelete
  2. Aliff Danial bin Badrul Akmal Hisham10 July 2025 at 16:30

    Mantapnya komrad.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Bab mana yang mantap entah

      Delete
  3. 👍🏻👍🏻👍🏻

    ReplyDelete
  4. 👍🏻👍🏻👍🏻

    ReplyDelete
  5. Tak patut saund pensyarah, dia pendidik. Mane nak berkat ilmu tu.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Imam Syafie juga berbeza banyak dalam fiqh dengan gurunya, Imam Malik. Ini lagi besar, sehingga melahirkan dua mazhab masyhur.

      Delete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Seabad Seorang Che Det: Siapa Dia Pada Aku?